Saturday, December 23, 2006

Khusyuk Dalam Solat

Rasulullah SAW bersabda,
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya".
"Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang."
"Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan".

Khusyuk ialah hati sentiasa hidup.

Untuk khusyuk dalam solat, perlu amalan berikut:
1. Jaga makan minum, pakaian, tempat tinggal dll supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
2. Fikiran tidak liar. Sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita. Anggap setiap solat adalah solat kita yang terakhir.
3. Dirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apabila masa hampir luput.
4. Baca dengan baik (khusnul qori'ah), berusaha untuk faham bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (tafakhum).
5. Lakukan rukun-rukun solat secara tertib. Berusaha menyedari bahawa (khudunul qolbih) Allah memerhati sembahyang kita.
6. Ada rasa malu (haya') dan takut (khauf) terhadap kekuasaan Allah.
7. Berharap serta yakin Allah menerima solat dan amal kita.
8. Hati diajak hadir dalam solat iaitu kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
9. Membesarkan serta merasakan kehebatan Allah dalam solat.
10. Gunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang boleh khayalkan pemikiran.
11. Dirikan solat secara berjemaah.
12. Ambil wuduk dengan sempurna.
13. Kurangkan pergerakan anggota seperti tangan dan kaki; mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut lihat anak jari.
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
15. Baca surah An-Nas sebelum solat akan dapat membantu untuk kita khusyuk ketika solat nanti.

Khutbah Jumaat - Tanggungjawab Berat Seorang Pemimpin

22 Disember 2006
Semua manusia adalah pemimpin dan di akhirat kelak semua pemimpin ini akan ditanya, disoal, dibicarakan dalam melaksanakan amanah ini. Seseorang yang dipilih sebagai pemimpin hendaklah sedar bahawa kepimpinan adalah amanah daripada Allah. Jika dia berjaya menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan adil terhadap orang bawahannya, maka pemimpin ini, akan dapat naungan Allah diakhirat nanti. Sebaliknya sekiranya seorang pemimpin itu gagal menunaikan amanah ini dengan melakukan penyelewengan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah dan sebagainya, maka takutlah dengan amaran Rasulullah iaitu manusia yang paling dasyat seksaannya di dalam neraka ialah pemimpin yang zalim.

Bagi menyelamatkan pemimpin-pemimpin yang memiliki kuasa di atas muka bumi ini, Allah tegaskan supaya mereka laksanakan tanggungjawab tersebut dengan sungguh2. Tanggungjawab bagi seseorang pemimpin itu hendaklah:
1. Memastikan ibadat solat menjadi keutamaan bagi dirinya dan seluruh rakyat;
2. Menguruskan zakat dan kewangan dengan jalan yang diredhai Allah;
3. Memastikan sumber pendapatan rakyat dan negara bersih daripada sebarang sumber yang diharamkan oleh Allah.
4. Menitikberatkan soal Amar Makruf dan Nahi Munkar, iaitu mendidik rakyat supaya sentiasa mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangannya; dan
5. Mengutamakan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukkan dalam menyelesaikan segala bentuk permasalahan.

Dalam menghuraikan perkara ini, Syeikh Mustafa Muhammad Attohhan didalam bukunya Syahsiatul Muslimul Muasiri menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin, antaranya:
1. Menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah;
2. Menegakkan keadilan dikalangan manusia tanpa mengira warna, kulit dan bangsa;
3. Mengambil tahu tentang permasalahan rakyat;
4. Membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan;
5. Membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian;
6. Menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka disisi undang-undang; dan
7. Menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dikalangan rakyat.

Apabila seseorang itu dilantik atau dipilih jadi pemimpin, maka itu sebenarnya bukanlah satu berita gembira baginya. Kepimpinan bukan satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan tetapi kepimpinan adalah amanah Allah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah di Padang Mahsyar kelak.

Justeru, apabila seseorang itu dilantik sebagai pemimpin, maka janganlah dia ambil kesempatan untuk mengaut keuntungan duniawi dengan menafikan hak orang lain. Manusia sering kali lupa daratan apabila berada dipuncak kejayaan. Mereka lebih suka mempamerkan kekayaan masing-masing melebihi daripada pendapatan yang diperolehi.

Mereka lupa bahawa Saidina Umar bin Al-Khatab, walaupun baginda hanya tinggal dalam rumah yang dibina daripada tanah liat dan hidup dengan penuh kezuhudan, namun namanya tercatat didalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang berjaya menggerakkan kuasa dunia ketika itu. Beliau adalah seorang pemimpin yang sangat dikagumi oleh kawan dan digeruni oleh musuh tanpa perlu mempamerkan kemewahan hidup baginda.

Kehebatan seseorang pemimpin itu bukanlah terletak pada kemewahan, sebaliknya pada kebijaksanaannya dalam menjalankan amanah Allah.

Budaya hidup mewah ini akan menjadikan seseorang pemimpin itu terlajak dan bertindak mengambil hak orang lain demi untuk membina kemewahan mereka sendiri. Sesungguhnya mengambil hak orang lain itu adalah merupakan satu kezaliman yang perlu dihindari.

Allah memberi amaran supaya jangan mempergunakan kedudukan dalam apa jua jawatan sekalipun untuk mengaut keuntungan dan membina kekayaan melalui firmannya dalam surah al-baqarah ayat 188 yang bermaksud “Janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya".

Perlu disedari, perbuatan menzalimi orang lain amat bahaya kerana sesungguhnya doa orang yang dizalimi sangat dimakbulkan oleh Allah. Jika kita menzalimi seseorang , lantas orang itu menadah tangan memohon doa kepada Allah, maka dengan cepat Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya tidak ada satu hijab yang menghalang doa seseorang yang dizalimi itu daripada didengar dan diperkenankan oleh Allah.

Sabda Rasulullah, salah satu penyakit yang sangat bahaya dan mudah berjangkit kepada mereka yang bergelar pemimpin ialah penyakit rasuah. Orang yang memegang kuasa seringkali terdedah dengan amalan rasuah.

Islam menyuruh umatnya menghindarkan diri daripada rasuah dan apa-apa sahaja yang menjurus kearah rasuah. Rasullullah bersabda bahawa barang siapa yang memberi pertolongan dan sokongan pada saudaranya utk dapat sesuatu, lalu saudaranya itu berikannya balasan kerana pertolongan itu, maka telah datang kepadanya satu pintu yang besar diantara pintu-pintu riba.

Yang penting pemimpin, kena ada tanggungjawabnya terhadap apa yang dipimpinnya, kena memenuhi keperluan rakyat, jaga keselamatan mereka, bawa depa kearah kebaikan. Yang dipimpin juga mestilah mematuhi dan menghormati pemimpin dalam apa jua keadaan asalkan bersesuaian dengan agama. Pemimpin ibarat pelayan yang mesti melayan kehendak rakyatnya. Walaupun tak sama dari sudut pangkat, tapi mesti saling tunaikan tanggungjawab dan rasa sama-sama saling perlu memerlukan antara satu sama lain.